Jan 4, 2010

Masih Ada Masa

Tahniah kepada KDN kerana telah mengambil langkah sewajarnya untuk memfailkan rayuan di mahkamah rayuan berkenaan keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan perkataan Allah digunakan sebagai makna Tuhan Bapa oleh masyarakat kristian. KDN juga akan memfailkan rayuan menghalang keputusan mahkamah tinggi itu dilaksanakan sementara menunggu keputusan mahkamah rayuan.


YAB Dato Seri Mohd Najib juga telah memaklumkan bahawa beliau akan mengadap KDYMM Yang Dipertuan Agong untuk menyembah maklum dan juga mungkin memberi taklimat kepada Majlis Raja-raja sekiranya diperlukan. YAB Tan Sri Muhyiddin juga telah meminta semua rakyat supaya memberi kepercayaan kepada kerajaan dalam menangani isu berkaitan perkataan Allah ini.

Namun apa yang dikesalkan ialah perkara ini telah pun berlarutan selama hampir dua tahun tetapi tidak ada sebarang tindakan pro akti yang dilakukan oleh pihak kerajaaan. Sepatutnya kerajaan melalui agensi berkaitan seperti risik dan sebagainya tentu maklum mengenai keresahan umat Islam sekiranya perkataan Allah dibenarkan digunakan oleh agama lain. Pelbagai pendapat telah pun diberikan apabila perkara in dibawa ke mahkamah Tinggi. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya satu bentuk siasatan menyeluruh telah dibuat dan satu keputusan yang terbaik sepatutnya dicadangkan supaya ianya tidak menjadi tidak terkawal sperti ini.

Keputusan Majlis fatwa Kebangsaan serta larangan Menteri berkaitan pada tahun 1980an serta larangan dalam enakmen negeri cukup untuk memberi kerajaan segala fakta yang berkaitan agar perkara ini diselesaikan diluar mahkamah. Ini lebih baik dari mahkamah membuat keputusan dan akhirnya masyarakat menjadi tidak tenteram dan bergolak. Tidak ada sesiapapun yang boleh memberi jaminan sekiranya keputusan tersebut berpihak pada kerajaan maka tidak akan ada tunjuk perasaan dari pengikut agama Kristian.

Seterusnya mana mungkin sebagai kerajaan yang bertanggungjawab menegakan Islam sebagai agama rasmi boleh terlalai dan membiarkan isu sepenting ini dibicarakan dan diadili oleh seorang hakim yang bukan beragama Islam. mana mungkin beliau dapat memahami sejauh mana kepentingan dan kesucian perkara ini kepad umat Islam. Perkara tidak sepatutnya berlaku dan siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya keputusan mahkamah rayuan juga tidak berpihak kepada umat Islam? Adakah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri atau Menteri berkaitan Agama atau sesiapa sahaja akan mengambil tanggungjawab ini atau ianya akan dijawab dengan pelbagai alasan yang hanya akan menimbulkan lebih kemarahan umat islam kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

Oleh yang demikian saya menyeru kepimpinan kerajan yang ada pada hari ini lebih kepada bercakap serupa bikin dan mendengar pandangan, nasihat, rintihan dan keluhan rakyat terutamanya yang disampaikan oleh pemimpin bawahan parti yang marhean seperti di cawangan dan bahagian yang setiap hari berhadapan dengan deyut nadi rakyat dan bukannya syok sendiri berada disinggahsana dengan hanya mengeluarkan arahan dan amaran sepanjang masa tanpa tindakan...

Jan 3, 2010

Kenaikan tidak kena masa - Pemuda UMNO Maran

MARAN 2 Jan. - Kerajaan sepatutnya menangguhkan tarikh kenaikan harga gula bagi mengurangkan beban rakyat yang sedang membuat persiapan persekolahan anak- anak yang bermula Isnin ini.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Khairul Amin Osman berkata, pihaknya tidak membantah keputusan kerajaan itu tetapi ia sepatutnya dilakukan pada masa yang lebih sesuai sehingga selesai ibu bapa menguruskan persekolahan anak-anak.

Tegas beliau, kenaikan harga gula itu membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan pekebun kecil yang sedang membuat persiapan persekolahan anak-anak.

"'Hadiah tahun baru ini dianggap satu tindakan yang tidak sesuai ketika rakyat sedang menghadapi beban kewangan yang tinggi berikutan penggal persekolahan dibuka Isnin ini.

"Kenaikan harga gula ini dianggap tidak selari gagasan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' kerana ia berlaku ketika orang ramai membuat persiapan persekolahan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin.

Menurut Khairul Amin, pendekatan kerajaan yang melepaskan beban tanggungan subsidi gula juga dianggap tidak kena pada masanya.

Justeru, tegasnya, Pemuda UMNO Maran tidak bersetuju dengan kempen kesedaran mengurangkan gula yang dilancarkan kerajaan menerusi kenaikan harga bahan itu.

"Kita memahami kekangan kewangan kerajaan ketika ini tetapi tindakan mengalih bebanan itu kepada rakyat dengan alasan tanggungan subsidi yang besar tidak dapat diterima," tegasnya.

Beliau bimbang tindakan meletakkan beban itu kepada rakyat akan dieksploitasi oleh pembangkang yang ketika ini ketandusan isu.

"Kami berpendapat adalah lebih baik kementerian mengambil pendekatan lain termasuk membuka permit import (AP) gula supaya lebih banyak pengusaha boleh mengeluarkan gula kepada negara, seterusnya meningkatkan persaingan.

"Lebih banyak pengeluar gula akan sekali gus mempengaruhi harga di pasaran. Ia juga dapat mengurangkan monopoli yang kini hanya dipegang beberapa individu," katanya.

Sehubungan itu tegasnya, kenaikan harga gula harus diteliti semula dengan mencari mekanisme baru yang tidak membebankan rakyat kerana jika diteruskan, ia akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.